BannerFans.com

Akim-Stacy enggan terburu-buru




KISAH percintaan antara dua bekas pelajar Akademi Fantasia, Akim Ahmad dan juga Stacy bukan lagi rahsia.

Biarpun cuba merahsiakan kisah percintaan mereka pada awalnya, namun kedua-dua penyanyi ini akhirnya bersikap terbuka berkongsi kisah mereka yang dikatakan telah terjalin sejak tiga tahun lalu.

Bagaimanapun pasangan ini masih belum meletakkan sebarang sasaran bilakah akan menamatkan zaman bujang tambahan pula isu sensitif yang mengaitkan soal keagamaan membuatkan mereka lebih berhati-hati.

“Buat masa ini saya tidak mahu berkata apa-apa mengenainya selagi ia belum benar-benar berlaku kerana tidak mahu kelirukan sesiapa dan saya masih lagi Stacy yang dulu,” kata Stacy.

Ditanya sama ada dia dan Akim telah merancang lebih serius membawa perhubungan mereka ke peringkat yang seterusnya, Stacy bagaimanapun akui enggan terburu-buru.

“Memang kami berada dalam fasa perhubungan tapi belum ada perancangan yang benar-benar serius untuk ke peringkat seterusnya.

“Lagi pun sekarang saya dan Akim masing-masing sibuk menjalani karier masing-masing,” katanya.

Turut memberi respons yang sama, Akim mengakui masih banyak perkara yang perlu diperbaiki sebelum dirinya benar-benar bersedia ke gerbang perkahwinan.
“Sejujurnya saya sendiri pun belum bersedia untuk berkahwin. Lagipun bila hidup berkeluarga, banyak perkara yang perlu kita bataskan. Jadi sebab itu saya tidak bersedia kerana masih ada banyak keinginan lagi yang ingin saya penuhi,” katanya.

Sh : Rancak tawaran seni

Bercerita mengenai perjalanan karier, Stacy memberitahu selepas sambutan Aidilfitri buat pertama kalinya dia bakal terlibat dalam bidang lakonan.
Teruja dengan perkara itu, Stacy berharap apa yang dirancang dapat berjalan dengan sebaik mungkin.

“Ini kali pertama saya berlakon. Saya sendiri tidak tahu sama ada lakonan menerusi telefilem itu menjadi atau tidak, maklumlah ini percubaan pertama saya.
“Kalau kali ini saya berjaya, jika diberi peluang untuk berlakon lagi sudah tentu saya akan terima,” ujarnya sambil tertawa.

Seperti Stacy, Akim juga tidak kurang hebatnya. Sejak tampil secara berkumpulan menerusi Akim & The Majistret, karier nyanyiannya semakin mendapat perhatian ramai.

Tidak menafikan perjalanan bidang nyanyiannya sebelum ini ‘lambat panas’, Akim bagaimana pun yakin apa yang berlaku terselit seribu hikmah.

“Saya mengaku perjalanan karier nyanyian solo saya sebelum ini agak perlahan. Mungkin ada hikmah kenapa saya tak naik dulu, kalau tak mungkin saya akan hilang sekarang.

“Enam tahun berada dalam industri buat saya banyak belajar dan berfikir dan Alhamdulillah, dengan pengalaman itu juga saya kini bersama The Majistret," katanya.

Raya berdua

Tinggal berbaki beberapa hari lagi, seluruh umat Islam bakal menyambut hari kemenangan selepas sebulan berjuang menunaikan ibadah puasa.

Sudah pasti rata-rata mereka yang menyambutnya teruja membuat persiapan bagi meraikan hari lebaran ini. Tidak terkecuali buat Akim yang tidak sabar pulang beraya di kampung halaman, Kangkar Pulai.

“Saya akan mula bercuti dua hari sebelum hari raya nanti dan bercuti mungkin dalam seminggu sahaja selepas raya,” katanya.

Dari segi persiapan pula, Akim lebih selesa menyerahkan segala persiapan hari raya kepada kedua ibu bapanya.

“Saya masih bujang, jadi persiapan pun tidaklah terlalu beria. Selalunya persiapan raya banyak disediakan oleh ibu bapa saya termasuklah baju raya saya sendiri.

“Tahun ini ibu pilih tema warna hijau zamrud untuk kami sekeluarga, jadi biarlah mereka uruskan dan saya hanya sediakan bajet perbelanjaan,” katanya.

Tidak ketinggalan merasai sambutan Aidilfitri, Stacy turut akan berhari raya bersamanya.

“Tahun ini sekali lagi saya akan beraya di rumah Akim bersama kedua ibu bapanya. Boleh dikatakan ini pengalaman berharga buat saya.

“Biasanya saya akan teruja menikmati makanan yang jarang saya jumpa seperti burasak sebab juadah yang lain saya sudah biasa rasa.

“Selain makanan, saya juga teruja merasai sendiri suasana hari raya bersama mereka,” kata Stacy penuh teruja.

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Post a Comment