BannerFans.com

Peluang Nabila, Ilya teroka Eropah




NABILA Huda dan Raja Ilya nama yang cukup sinonim dengan dunia lakonan tempatan.

Berilah apa sahaja watak, pastinya hasil lakonan mereka tidak akan mengecewakan dan tidak hairanlah keduanya sering diberi kepercayaan dalam lakonan.

Disebabkan kredibiliti itu juga, dua aktres ini berjaya membawa karier masing-masing pada kelas yang tersendiri.

Keluar dari kepompong lakonan, Nabila dan Ilya yang bakal tampil menerusi program baharu berkonsepkan permainan, Awak Kat Mana? Pastinya akan membongkar sisi berbeza dua figura ini.

Ditawarkan sebagai hos program, Nabila atau lebih mesra disapa Abil akui beruntung kerana berpeluang mengendalikan program seperti itu biarpun buat kali pertama. 

“Alhamdulillah, ini rezeki saya. Kebetulan pada masa yang sama memang saya tidak ada tawaran lakonan.

“Saya gembira walaupun ini kali pertama tapi program ini sangat bersesuaian dengan minat dan jiwa saya yang sejak dulu memang suka mengembara.

“Lebih seronok apabila pihak produksi meminta saya untuk menjadi diri sendiri dan tidak terlalu terikat dengan skrip jadi, itu memberi lebih kebebasan buat saya,” katanya teruja.

Berlainan pula dengan Ilya yang di undang sebagai peserta yang terlibat, tugasan yang diberikan untuk mencari barang yang tersembunyi dalam program itu benar-benar mencabar dirinya.

“Dalam program ini saya digandingkan bersama Syed Ali. Bayangkan, kami sendiri tidak tahu di mana destinasi yang perlu kami tuju.

 “Nampak macam senang tapi bila dah dapat tugasan, memang mencabar tambahan pula kami terpaksa berdepan dengan masalah komunikasi dengan orang sekeliling.

“Kami hanya diberi masa selama lima jam untuk selesaikan tugasan itu. Sepanjang itu juga Syed Ali beri kerjasama dengan baik walaupun ada pada pertengahannya dia hampir putus asa.

“Bagaimanapun, inilah pengalaman berharga buat saya dan saya berani jamin program ini sangat menyeronokkan,” katanya.

Program terbitan 4Bero Productions itu telah menjalani penggambaran  menjelajah ke 13 buah negara di Eropah.
Awak Kat Mana? bakal bersiaran pada setiap Khamis, jam 9.30 malam bermula 13 Ogos ini secara eksklusif di Saluran Astro Ria dan siaran serentak di Ria HD.


Nabila sedih berjauhan

45 hari menjelajah 13 lokasi di Eropah sudah pasti menjadi kenangan yang terindah buat dirinya tambahan pula lawatan ke beberapa lokasi yang belum dijejakinya seperti Brussel, Bordeaux, Budapest dan Vienna dalam program itu hampir melengkapkan impiannya untuk 'menawan' benua tersebut.

Namun dalam kegembiraan itu, Nabila yang mesra disapa Abil akui terselit perasaan rindu saat berjauhan dengan puteri kesayangannya, Keisha Laila, 6.

“Minggu pertama di sana saya masih menghubungi Keisha melalui Facetime. Tapi lama-lama perasaan rindu itu buat saya sedih tambahan pula Keisha sudah pandai bercakap apa yang dia rasa.

“Memang sebak sehingga saya tidak boleh menghubunginya lagi sebab tidak mahu mood untuk bekerja hilang.

“Saya tidak menghubunginya sehingga kerja saya selesai dan pulang ke rumah,” katanya sambil tertawa kecil.

Selain diberi peluang mencuba bidang pengacaraan, Nabila bersyukur kerana cabang kariernya kian meluas dengan pementasan teater, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck yang bakal dipentaskan di Istana Budaya Oktober ini.

“Saya diberi tanggungjawab untuk memegang watak Hayati. Ini kali pertama saya bawa watak yang besar dalam pementasan teater.

“Ini sesuatu yang baharu dan sudah pasti saya tidak sabar untuk lakukannya tambahan pula ia dipentaskan di Istana Budaya,” katanya yang kini sibuk menjalani penggambaran drama Balqis arahan Erma Fatima.

 Jual lipstik

Selebriti berjinak-jinak dalam bidang perniagaan sudah menjadi satu fenomena. 

Tidak terkecuali, Abil turut merebut peluang untuk memperkenalkan produk yang tersendiri.

Buat Abil, bidang perniagaan bukanlah minatnya namun atas dasar ingin berkongsi perkara yang digemari peminatnya.

“Dalam masa yang terdekat, saya akan menjual ‘lipstick’ keluaran saya sendiri yang saya namakan ‘Mariposa’.

“Sebelum ini ramai peminat yang menyukai ‘lipstick’ yang saya gunakan dan tidak salah kalau saya gunakan peluang ini mengeluarkan jenama saya sendiri dengan kualiti yang saya mahukan.

“Saya bukanlah seorang yang gemar berniaga tapi saya hanya mahu berkongsi bersama peminat apa yang saya suka,” katanya.

Ilya mahu ke Bollywood

Mula dikenali menerusi beberapa lakonan drama Tamil, aktres berusia 29 tahun ini pernah memasang cita-cita untuk ke Bollywood.

Mengakui rezeki lakonan tempatan semakin menyebelahinya, itu bukan alasan buat Ilya atau Raja Ramilah Raja Mohd melupakan impiannya sebelum ini mencapai populariti.

“Sehingga hari ini saya masih menaruh harapan untuk mencapai cita-cita untuk ke industri Bollywood.

“Saya masih lagi ada kontrak dengan produksi filem di sana cuma buat masa ini belum ada perkembangan terbaharu di sana,” katanya.

Mengulas lebih lanjut mengenai khabar angin yang mengatakan dirinya terpaksa membatalkan niat bertudung kerana kontrak lakonan, Ilya menjelaskan dirinya tidak mahu terburu-buru.

“Baru-baru ini saya sering ditawarkan memegang watak perempuan bertudung dan sejak itu hati saya terdetik untuk menukar penampilan.

“Tapi dalam soal ini saya tidak mahu terburu-buru dan bila sudah bersedia sepenuhnya barulah saya akan lakukannya.

“Kalau boleh, saya tidak mahu memakainya kerana orang lain. Biarlah ia datang sendiri dari hati saya,” jelasnya yang bakal melancarkan produk kecantikan menerusi syarikatnya sendiri, Bintang Klasik. -Sumber

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Post a Comment